12 Disember 2013

Menyelosori Kehidupan Sekolah Agama Rakyat (SAR)




Pengalaman saya Sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia dan berpengalaman mengajar di Sekolah Agama Rakyat (SAR), telah banyak melihat double standard kerajaan di dalam memberi pendidikan sempurna kepada rakyat. Kenapa SAR yang mempunyai subjek mata pelajaran yang banyak, kadang-kadang sehingga 18 mata pelajaran, tetapi pelajar-pelajarnya tetap cemerlang dan ada sebahagiannya melebihi pencapaian pelajar-pelajar  yang ada di sekolah-sekolah milik kerajaan.
            Walaupun Pelajar-pelajar di SAR mempunyai serba-serbi kekurangan sama ada dari sudut prasarananya, kewangannya, kekurangan guru terlatih dan berbagai-bagai-bagai lagi kekurangan, namun pelajar-pelajar ini tetap berjaya bersaing dengan pelajar-pelajar di sekolah menengah harian atau sekolah menengah berasrama milik kerajaan yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
            Namun suatu hakikat yang perlu diketahui oleh semua rakyat Malaysia ialah Sekolah-sekolah SAR ini terbina hasil daripada sumbangan bangsa Melayu dan umat Islam itu sendiri yang ingin melihat anak-anak Melayu yang beragama Islam dapat belajar dalam acuan pendidikan Islam itu sendiri dan mempunyai kebebasan merencana kehidupan mereka sendiri.
Tetapi persoalannya, kenapa kerajaan menganaktirikan 100 peratus anak Melayu yang belajar di sekolah-sekolah tersebut ? Dimanakah agenda UMNO yang dilaung-laungkan untuk memartabatkan bangsa Melayu, sedangkan 100 peratus pelajar-pelajar yang belajar  di sekolah-sekolah  tersebut adalah 100 peratus berbangsa Melayu dan berugama Islam. Kenapa agenda pendidikan mesti dipolitikkan. Sedangkan menurut kajian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan dan Bahagian Pendidikan Islam mendapati Sekolah Agama Rakyat (SAR) mempunyai kelebihannya yang tersendiri.  Antaranya ialah:-

ü  kebanyakan guru di SAR bersikap dedikasi terhadap profesion mereka kerana pegangan agama (taat kepada Allah). Mereka bersemangat tinggi untuk memajukan bangsa dan agama.
ü  Sekolah-sekolah agama memberi penekanan kepada usaha membenteras masalah keruntuhan moral, dan mewujudkan suasana kekeluargaan di sekolah dan mengamalkan sifat persaudaraan yang tulin.
ü  Pengajaran-pembelajaran menekankan pembentukan sifat-sifat mulia, iman dan hukum Allah. Pelajar-pelajar diberikan kebebasan memilih jurusan pengajian masing-masing terutamanya dalam pengajian agama.
ü  Guru menjadi contoh tauladan yang baik kepada pelajar dan didapati mereka sanggup  berkhidmat walaupun kelengkapan sekolah tidak mencukupi.
ü  Pelajar lepasan sekolah-sekolah agama mempunyai peluang yang lebih luas berbanding dengan lepasan sekolah-sekolah biasa kerana mereka mempunyai pengetahuan akademik dan agama, selain daripada mempelajari Bahasa Arab, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Oleh itu, adakah dengan menyerapkan SAR ke dalam Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) akan menjadikan sekolah-sekolah tersebut lebih baik ?
Hakikat yang semestinya perlu diakui oleh masyarakat ialah, baik dan buruknya  bukan terletak kepada sekolah SAR tetapi sistem dan acuan yang diterima pakai. Sedangkan sistem  yang diterima pakai oleh kerajaan di dalam Sistem Pendidikan Malaysia itu sendiri adalah suatu sistem yang cacamarba yang tidak mempunyai halatuju yang jelas. Malah Tokoh akademik negara, Pak Ungku Aziz juga pernah menyuarakan pandangan kritisnya di mana beliau merasakan jikalau sistem pendidikan di Malaysia tiada tangan-tangan gatal yang mengusik dan merombaknya sesuka hati, beliau yakin dan pasti pendidikan negara tidak akan menjadi cacamarba seperti yang berlaku sekarang. Ini jelas dilihat kepada perjalanan sekolah-sekolah kendalian Kementerian Pelajaran Malaysia sekarang, yang melonggokkan berbagai-bagai program kepada sekolah-sekolah untuk dilaksanakan. Manakala kumpulan pelaksana pula mesti melaksanakan program-program tersebut dalam apa jua keadaan sekalipun tanpa boleh membantah dan bersuara walaupun program-program tersebut tidak jelas dan terancang ke mana arah tujunya. Manakala sesetengah pemimpin yang gila glamour pula mencanangkan perkara-perkara yang mereka sendiri tidak faham, tetapi hendak orang lain memahaminya.

      Pendidikan yang cacamarba ini sebaliknya tidak berlaku di SAR, ini disebabkan SAR mempunyai matlamat yang jelas bagi melahirkan pelajar yang beriman dan berakhlak. Iaitu dua asas penting kepada pembangunan jati diri yang akhirnya mampu merencanakan kehidupan mereka pada masa hadapan. SAR tidak kekurangan dari segi input ilmu, malah melebihi input yang diberikan oleh sekolah-sekolah kerajaan itu sendiri. Perkataan-perkataan yang keluar daripada mulut sesetengah pihak dengan mengatakan bahawa pembangunan pelajar di SAR tidak seimbang di antara kurikulum dan ko kurikulum adalah retorik semata-mata bagi memperlihatkan kelemahan SAR. Sedangkan pelajar-pelajar di SAR lebih berdikari dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu biarlah SAR berjalan dengan acuannya sendiri tanpa ada tangan-tangan gatal yang cuba menghancurkannya tanpa disedari. Jika ingin membantu, hulurkanlah bantuan kewangan yang diperlukan oleh SAR. SAR adalah milik rakyat dan ia akan kembali kepada rakyat.
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan