29 September 2010

WAKAF DI DALAM ISLAM

Wakaf merupakan satu tradisi sosial yang diturunkan oleh Rasulullah S.A.W dimana tradisi tersebut dipegang kuat oleh sahabat- sahabat dan para pengikutnya. Sistem wakaf telah memberikan manfaat yang tidak terhingga kepada golongan yang tidak bernasib baik dan melahirkan ramai para pemikir terulung dan berbagai institusi di dalam peradaban Islam.
Wakaf adalah salah satu amal jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam. Ia merupakan amal soleh yang pahalanya tidak akan putus-putus diberikan Allah kepada pewakaf selama harta yang diwakafkan itu masih kekal dimanfaatkan.
Contoh amalan pada zaman Rasulullah S.A.W adalah apabila Sayidina Umar mewakafkan sebuah ladang yang dihadiahkan kepadanya supaya hasil tanaman dari ladang tersebut dapat dimilikki oleh masyarakat setempat ketika itu. Di satu ketika yang lain pula, Sayidina Uthman b. Affan telah membeli sebuah telaga yang dikenali sebagai telaga Roman yang kemudiannya dijadikan sumber air oleh orang ramai pada ketika itu.
Sejak itu, amalan wakaf terus berkembang, apabila umat Islam mula mewakafkan tanah mereka untuk dijadikan masjid. Oleh kerana masjid adalah sumber ilmu, maka wakaf dikembangkan pula ke pembinaan pusat pengajian, kediaman, kesihatan dan berbagai infrastruktur lain sehinggalah pada hari ini.
Di antara pusat pengajian Islam terulung hasil dari amalan wakaf termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir, Al-Qarawiyyin dan Zaitouna.
Dari segi pentadbiran kerajaan pula, satu contoh perlaksanaan Wakaf Tunai bagi membantu kesejahteraan rakyatnya adalah pada zaman Empayar Uthmaniyah di Turki. Empayar Uthmaniyah mencapai kegemilangan dengan bantuan amalan wakaf tunai yang meluas ketika itu sehingga berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan serta menjadi pelengkap kepada usaha-usaha pembangunan dalam penyediaan  kemudahan-kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan seumpamanya kepada masyarakat Turki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan