12 November 2013

Dilema Ibu bapa Menempatkan Anak di Tingkatan Satu di Sekolah-sekolah Pilihan kadang-kadang Lebih Penting Daripada Masuk ke Universiti




Keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan, tetapi ramai ibu bapa yang sudah berkira-kira  untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah-sekolah pilihan. Bagi Ibu bapa yang memiliki anak yang mempunyai prestasi yang agak baik, ini tidak membimbangkan mereka. Ini kerana berbagai-bagai pilihan yang ada dan sekolah-sekolah tersebut memang sudah mempunyai trademark tersendiri. Sama ada ingin menghantar anak ke MRSM, Sekolah Berasrama Penuh atau SMKA. Mereka juga mempunyai pilihan untuk menghantar anak ke sekolah-sekolah agama.

            Tetapi bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang memiliki prestasi agak sederhana dan kurang baik, mereka cukup tertekan dengan masalah ini. Ini disebabkan mereka terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah harian yang berdekatan dengan rumah mereka. Ini bukanlah disebabkan sekolah-sekolah tersebut  mempunyai  guru-guru yang tidak berkualiti dan prasarana yang tidak baik, malah kadang-kadang guru-guru dan prasarana tersebut adalah lebih baik daripada sekolah-sekolah yang dalam kumpulan kluster. Tetapi apabila diukur dari sudut zahiriah sekolah-sekolah tersebut, berbagai-bagai anggapan akan dibuat oleh ibu bapa, mereka memikirkan bagaimana masa hadapan anak-anak mereka yang akan memulakan alam remaja dan alam persekolahan menengah. Bagaimana pengaruh yang akan diterima oleh anak-anak mereka seperti masalah akademik, masalah merokok, masalah dadah, masalah menghidu gam, masalah lumba haram, masalah berpacaran, masalah zina di kalangan pelajar dan berbagai-bagai lagi masalah yang tidak mampu mereka nafikan adalah tanggungjawab mereka bersama. Namun  masalah-masalah tersebut tidak pernah selesai daripada dahulu sehingga sekarang. Ini kerana mereka melihat faktor persekitaran yang mereka lihat di sekolah-sekolah tersebut  berbeza dengan persekitaran sekolah-sekolah yang di bawah kawalan.


            Ibu bapa juga akan merasa bertambah rungsing apabila keinginan meraka untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama tidak kesampaian apabila mereka terpaksa memikirkan bayaran yuran yang perlu mereka tanggung dan sekolah-sekolah tersebut juga turut membuat tapisan melalui temu duga kelayakan. Sekiranya mereka ingin menghantar anak ke sekolah pondok, mereka berfikir pula tentang keperluan sijil, ini juga penting apatah lagi sekarang kerajaan menggunakan sistem penilaian berasaskan sekolah (PBS), bagaimana pula hendak masuk ke universiti nanti.  Jadi persoalan-persoalan inilah yang bermain di fikiran mereka. Oleh itu apakah langkah kerajaan bagi menyelesaikan persoalan-persoalan tersebut…?

 
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan